BAB 1 GELIGA
“Otak
merupakan pusat pengendali seluruh aktiviti manusia. Ia terdiri daripada 30
juta neuron atau saraf otak yang bekerja dengan dahsyat melebihi kemampuan super
computer apapun di dunia ini. Setiap neuron (saraf) otak saling terhubung untuk
menciptakan keajaiban dalam hidup manusia. Salah satu daripada kemampuan otak
ialah kita mampu memprogramkannya untuk mempengaruhi kehidupan orang lain
melalui komunikasi pemikiran bawah sedar. Seluruh keajaiban ini terkandung dalam
90% daripada otak manusia yang masih belum digunakan lagi. Ini kerana manusia
hanya menggunakan 10% daripada otaknya dalam kehidupannya seharian,”
Aku
menghentikan pembacaanku. Angin lintang dari laut yang terbentang 200 kaki di
hadapanku menerbangkan beberapa helai kertas suratkhabar yang telah kukumpul di
atas meja jualan yang kosong. Tidak ada jualan pagi ini kerana para nelayan
tidak turun ke laut semalam atas faktor cuaca. Namun tampaknya pagi ini cuaca
sudah mulai bersahabat dan pasti petang nanti rutin itu akan bergerak semula. Tangkas,
aku bangun dari tempat dudukku dan mengambil sebongkah batu untuk menindih
kepingan surat khabar. Hidup di kampung
nelayan menjadikan setiap helai suratkhabar demikian bererti. Bukan untuk dibaca,
kerana surat khabar itu hanyalah himpunan surat khabar lama yang dibeli secara
borong dari kedai kitar semula. Tapi untuk dijadikan pembungkus ikan, sebelum
dimasukkan ke dalam plastik dan diserahkan pada pelanggan.
Setelah memastikan
semuanya selamat, aku kembali duduk dan
meneruskan pembacaanku. Sebagai manusia introvert, aku tidak punya dunia lain
selain membaca. Oleh kerana perpustakaan terlalu jauh untuk dicapai, maka hanya
suratkhabar yang sudah luput usianya inilah yang menjadi duniaku. Bak kata
arwah abah, mulailah harimu dengan membaca, kerana ia mampu menjadi bahan
pengaktif hidupmu seperti gas memanaskan enjin kereta. Namun, semenjak tragedi
kemalangan hingga meragut nyawa abah dan mama dua tahun lepas, kebiasaan itu
mulai berkurang. Aku sudah tidak menemukan bahan bacaan yang mencabar untuk
dieksplorasi lagi. Aku membaca hanya sekadar membaca. Tapi, ya, artikel satu
ini sangat menarik minatku.
Cebisan akhbar itu
memuatkan tentang iklan ‘Seminar Meningkatkan Kuasa Otak’ yang dipromosikan
oleh seorang lelaki berusia sekitar awal 50-an. Menurut bibliografi ringkas yang
ditulisnya di muka surat yang sama, beliau telah mengkaji teori itu selama
sepuluh tahun berdasarkan metodologi kajian dari pengkaji luar. Namun,
keberkesanan kajian beliau hanya dapat dilihat secara optimum pada tiga tahun
terakhirnya. Semenjak itu, kehidupannya berubah. Lalu atas dasar kemanusiaan,
beliau ingin mengongsikan ilmunya itu pula pada orang lain.
Tanpa
sedar aku meraba-raba kepalaku dengan tangan kananku yang masih berbau hanyir
darah ikan. Rabaan itu kemudiannya bertukar pada picitan yang agak kuat, seolah
aku ingin menyentuh otakku dari luar kepalaku yang berbungkus rambut, kulit dan
tempurung. Benarkah kita hanya menggunakan 10% dari kemampuan otak dalam seluruh
kehidupan kita sebagai manusia? Persoalannya, kalau benarlah manusia mampu
memaksimumkan penggunaan otaknya sehingga 100%, ini bermakna kedua otak kiri
dan kanannya akan berfungsi secara maksimum. Tidakkah manusia akan diserang
epilepsi nantinya? Atau, ya, tidakkah ia akan menjadi seperti Lucy dalam filem
Lucy?
Aku
segera teringat adikku, si Danish yang kurus kerempeng yang baru berusia tujuh
tahun. Ketika umurnya lima bulan, Danish diserang demam panas disertai
epilepsi. Semenjak itu, serangan epilepsi
seakan tiada kesudahan. Tanpa demam atau
tidak, epilepsi akan tetap menyerang. Pelbagai teori pun timbul beserta
sederetan eksperimentasi termasuk EEG, MRI, CT Scan hinggalah ke sampel air
tulang sumsum Danish. Akhirnya, keputusan menunjukkan bahawa kedua otak kanan
dan kiri Daniah berfungsi secara serentak. Tindakan ini menyebabkan gangguan
neorologis dalam otak hingga mengakibatkan renjatan. Tubuhnya yang kecil dan
usianya yang masih dini tidak mampu menerima permainan otaknya.
Aku baru berusia sepuluh
tahun ketika doktor cina muda itu cuba menjelaskan keadaan itu pada mama dan
abah. Abah, seperti biasa, kelihatan
sangat tenang. Itu ciri khas abah. Cool. Seakan
seluruh isi dunia tidak akan ada yang menghancurkannya. Sementara mama, jiwa anthusiastic dan curiosity-nya sama
seperti aku. Mama akan melontarkan soalan demi soalan hingga hatinya puas. Dan
tentu saja, hingga doktor muda itu pun lelah menjawabnya. Sebagai keputusan, Daniah harus menjalani
terapi hingga usianya 5 tahun untuk menyeimbangkan kedua otaknya. Danish pun
membesar jadi anak yang pintar dan cerdas. Dia juga sudah dapat mengawal
epilepsi dengan baik.
Aku
merenung lagi cebisan surat khabar itu. Aku tertanya-tanya berapa peratuskah
dari kemampuan otakku yang telah kugunakan dalam usiaku yang baru mencecah 16
tahun ini? Hidup di kampung nelayan ini tidaklah benar-benar memerlukan
kemampuan otak. Kecuali saat peperiksaan sekolah dan mengira harga jualan
untung-rugi ikan atok setiap hari. Dan ya, saat ku mencipta puisi. Pasti kurang
daripada sepuluh. Berapa? Lima peratus?
“Jadi apa tunggu lagi? Mari, sertai seminar
kami dengan hanya RM300. Wang boleh
dicari. Tapi ilmu? Hanya mereka yang berhak saja, layak mendapatkannya...!”
Eh?
Aku menjenggilkan mataku menatap cebisan iklan itu. Gambar si tuan genius yang
berdiri tersenyum penuh bahagia itu seakan berkomunikasi denganku. Kedua
tangannya disilang di atas tubuh. Tiba-tiba, dia melipatkan jari-jari kanannya
dan mengeluarkan ibu jarinya menunjukkan simbol ‘Good.’
Aku terperangah. Terasa
seperti aku benar-benar sudah berkomunikasi dengan sang penganjur seminar. Bulu
romaku di tengkuk terasa berdiri. Aku lalu membuang cebisan akhbar itu ke
samping. Angin lintang yang bertiup dari arah laut terus saja meniupnya pergi.
Entah kebetulan atau tidak, cebisan itu berpuing-puing menari di hadapan atok
yang sedang berjalan menuju ke arah pondok jualanku . Langkah atok terhenti dan
tangannya yang kekar dan tangkas itu, segera menyambar cebisan akhabar dan membaca artikel
yang tertulis di dalamnya. Dahinya berkerut-kerut. Dia kemudiannya tersenyum
geli hati sendiri dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia pasti merasa lucu membaca iklan seminar
itu, fikirku. Ah, apalah orang seperti atok yang hidupnya bergelumang dengan
laut, hanyir ikan dan lumpur paya bakau
tahu pasal otak?
Aku
memerhatikan atok dari jarak tak sampai 10 meter. Dalam usianya yang sudah
mencecah 65 tahun, harus kuakui atok masih sangat bertenaga. Badannya segar dan
kekar, semangatnya kuat dan pandangannya sangat tajam dan dalam. Wajahnya manis
dan bersih meski rambut putihnya yang sudah semakin menipis di dahi. Dia
mengambil alih mengurusi kami dua beradik semenjak kematian abah dan ibu dua
tahun lepas. Semenjak itu, kami pun berpindah ke kampung atok dan tinggal di rumah kotak empat segi ehsan
kerajaan di bawah projek PPRT. Kami pun
menjalani kehidupan yang luar biasa bezanya dan berusaha mengadaptasi
diri dengan persekitaran yang baru.
Atok kemudiannya
memajukan langkahnya ke arahku semula dan berhenti tepat di hadapan meja jualan.
Dia menyilangkan tangannya dan berpeluk tubuh. Bibirnya meleret senyuman tipis
dan matanya merenungku tepat ke anak mataku dalam-dalam. Aku seakan terkunci
dalam renungannya. Hipnotis. Aku benar-benar tak mampu menggerakkan diriku.
Akhirnya, aku cuma membalas tatapan atok dengan rasa kecut di ulu hatiku.
Melihat ku tewas, atok
ketawa keras. Dia meletakkan artikel suratkhabar yang dipegangnya di hadapanku.
Aku menjadi cuak mendengar tawa atok.
“Kau penakut,” kata
atok selamba. Bukan selamba. Nadanya lebih kepada bangga. Dia mengeluarkan rokok kirainya dari poket baju kemejanya yang lusuh. “Aku dapat menghidu
ketakutanmu. Satu renungan saja pun sudah mampu membuatmu kecut. Kau tahu apa
ertinya?”
“Apa?” tanyaku cuak,
bercampur ingin tahu.
“Ertinya manusia tak
perlukan senjata untuk menewaskanmu. Serangan psikologi saja pun sudah cukup
untuk membuatmu lemah,” balas atok lalu menindih keratan suratkhabar itu
bersama kumpulan suratkhabar lainnya. Dia kemudiannya duduk di hadapanku yang
sedang menatapnya dengan rasa tidak puas hati. “Kopiku mana?”
Kopi adalah kecintaan
atok. Kalau aku memulai hidupku dengan membaca, maka atok memulai hidupnya
dengan kopi.
Aku bingkas mengambil
seteko kopi yang sudah kusiapkan dari tadi dan menuangnya ke dalam mug atok.
“Adikmu mana?” tanya
atok setelah meneguk kopinya yang hangat.
“Tadi katanya mau bantu
Bu Jiha cari kayu bakau,” jawabku seadanya.
Atok mengangguk. Bu Jiha
adalah jiran kami. Orangnya baik dan prihatin. Dialah yang selalu menyediakan
makanan kami kalau atok ke laut. Dia juga selalu mewakili penjaga untuk bertemu
dengan guru di sekolah. Tapi awas! Antara sisi baik dan jahat Bu Jiha, hanya
terpisah oleh selembar bening yang tipis. Dia boleh saja menyeberang ke
sebelahnya kalau hatinya tercalar.
Atok menghirup rokok
kirainya dalam-dalam. Aku menatapnya
dengan sejumlah ayat debat di hujung bibirku. Atok memang selalu
memperlecehkanku dan memprovokku agar aku berkelahi dengannya.
“Ari bukan penakut,” akhirnya
aku tidak dapat menahan mulutku.
“Hah? Apa?” tanyanya hairan. Barangkali baginya, isu
sudah selesai dan aku sudah dapat menerima pelecehannya.
“Ari cuma segan atok renung macam tu tadi. Kan
tak sopan, balas renungan orang tua?”
Mendengar alasanku, atok ketawa lepas. Jauh
lebih menjengkelkan bunyinya dari tadi. Begitu ketawanya usai, dia membalas
seadanya.
“Jadi bagaimana kalau
lawanmu orang tua?”
“Kenapa Ari harus
berlawan dengan orang tua?”
“Mana tahu suatu hari
kau bertemu dengan orang tua yang perlu kau lawan?”
“Kalau adapun, orang
itu cuma atok,”
Ketawa atok lepas lagi.
Dia benar-benar menikmati kejengkelanku.
“Baiklah. Bagaimana
kalau lawanmu ‘dia’...” .Atok memuncungkan bibirnya ke satu arah. “Kau berani
bertentang mata dengannya?”
Mataku mengikut ke arah
bibir atok, mencari siapa ‘dia’ yang dimaksudkan. Nun, di hujung jeti,
kelihatan Ikhwan sedang membersihkan botnya. Dia adalah pemuda berusia dua
tahun lebih tua dariku. Wajahnya terkesan sangat tampan. Meski masih remaja,
namun otot di lengan dan bahunya sudah kelihatan kekar. Maklum, anak nelayan.
Rambutnya sedikit ikal dan kulitnya yang putih seakan tak pernah hangus dijamah
matahari. Dia adalah bintang olahraga di sekolah, dan tentu saja, menjadi rebutan para gadis dan
gay. Tapi sikapnya yang jauh lebih introvert dariku membuatnya sering tersisih.
Kalau dalam lingkungan kami, keluarga Ikhwan adalah yang paling dikucilkan
dalam masyarakat. Namun atas dasar menjaga silatur-rahim, atok tetap berbaik
dengan mereka. Dia menganggap Ikhwan dan adik beradiknya sebagai keluarga
sendiri. Keakraban itu, kemudiannya mengembang ke arah lain. Dan atok, sudah
tentulah hati tuanya mudah mengesan partikel-partikel rasa yang terjalin antara
kami.
Wajahku tiba-tiba
memerah.
Ya, sudahlah. Reaksiku
telah membuat ketawa atok meledak lagi. Kali ini kedengaran jauh menjengkelkan
dari sebelumnya. Dia seakan sengaja ingin mendengarkan Ikhwan tentang perbualan
kami.
“Atok...stop it,” rayuku geram.
Akhirnya, setelah
beberapa ketika, atok menghentikan ketawanya. Wajahnya bertukar serius. Dia
memanggilku lembut. Ketika aku menoleh padanya, mata kami bertaut. Sekali lagi,
dia mengunciku jauh ke dalam matanya.
“Ariana, dengar sini. Kesantunan
adalah peraturan lisan yang telah dipersekati bersama dalam lingkunagan
kemasyarakatan. Tujuannya adalah supaya kita dapat hidup dalam keadaan aman dan
sejahtera. Tapi, bila salah satu dari anggota masyarakat itu melanggar adab dan
peraturan yang telah ditetapkan itu, pada saat itu, kesantunan harus kau tolak
ke tepi. Dan kau, seharusnya tahu bila masa yang sesuai untuk kau melakukannya,
tanpa mengira siapa pun lawanmu. Kau harus berani dan kuat. Bukan hanya pada
badan tapi mentalmu, ”
“Maksud atok?” tanyaku
bodoh. Aku faham maksud atok sebenarnya. Aku cuma gagal membuat perkaitan
mengapa semua perbualan ini berlaku hanya kerana sebuah artikel yang kubaca
tadi. Tidak biasanya kulihat atok serius begitu. Kata-katanya demikian
mendalam, menyimpan maksud tersirat yang gagal kucerna.
Atok berdiri. Dia
membuang pandangannya jauh ke laut. Hatiku diburu resah menanti lanjutan
penjelasannya. Setelah lama melayan perasaannya, atok menoleh padaku.
“Tak selamanya kau
harus membiarkan ketakutan menguasai dirimu, Ari. Sudah sampai masanya untuk
kau belajar memperkembangkan kemampuan mentalmu dan memperkuatkan jiwamu. Tuhan tidak akan memberimu ujian yang demikian
tragis untukmu, semata-mata untuk melihatmu menjadi lemah. Dia lebih tahu apa
yang ada di hadapanmu kerana tidak ada seorang pun dari kita yang dapat
mengubah iradatNya,”
Aku terlopong kaget.
Perlahan, atok merapatiku dan menepuk bahu kananku tiga kali seakan berkata, Tak apa cucuku, nanti akan kau mengerti
maksudku. Atok kemudiannya berlalu meninggalkanku, menuju ke gubuk Bu Jiah,
mencari Danish.
Aku masih terlopong
kaget. Bunyi geseran kertas ditiup angin terdengar dari arah meja jualan. Aku
menoleh. Keratan akhbar yang memuatkan artikel promosi seminar kecerdasan otak masih
di situ. Hujung kertasnya meliuk-lentok, seakan berusaha melepaskan dirinya
dari tindihan batu.
Betul. Aku gagal
mencari perkaitannya.
Comments
Post a Comment